Saturday 30 July 2011

Lagi tinggal bayi baru lahir

ALOR SETAR 29 Julai - Sepasang suami isteri yang ingin menjamu selera di sebuah kedai makan di Shahab Perdana di sini terkejut apabila seorang gadis meninggalkan bayi lelaki yang dipercayai baru lahir kepada mereka.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam tadi, Ahmad Zaidi Muin, dan isterinya, Marina Midon, masing-masing berusia 34 tahun didatangi seorang gadis meminta isterinya memegang sebentar seorang bayi yang berbungkus dengan tuala berwarna coklat dengan alasan untuk ke tandas.

"Ketika itu kami baru tiba dari Kuala Nerang untuk menjamu selera di kedai makan kegemaran kami dan boleh dikatakan tiap minggu kami akan ke sini.


"Saya baru sahaja meletakkan kereta sebelum seorang gadis berusia lingkungan awal 20-an datang meminta kami jaga bayinya untuk ke tandas namun selepas sejam, dia tidak muncul-muncul," katanya di sini, malam tadi.

Menurut Ahmad Zaidi, dia dan isterinya kemudian membawa bayi itu ke rumah abangnya di Pokok Sena sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.

"Kami kemudian membawa bayi lelaki ini ke Balai Polis Alor Setar kira-kira pukul 12 malam untuk melaporkan hal ini kerana bimbang kami dituduh menculik bayi tersebut," katanya yang sudah lapan tahun berkahwin dan belum dikurniakan cahaya mata

Tambahnya, tiada sebarang dokumen atau surat ditinggalkan oleh gadis tersebut kepada mereka.

Dia juga percaya bayi ini baru dilahirkan kerana terdapat kesan darah pada muka bayi ini. Ahmad Zaidi dan isteri juga berhasrat untuk mengambil bayi ini sebagai anak angkat mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes tersebut dan bayi lelaki itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut.

"Bayi berkenaan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Penjual Cendol - Hebat gadis tu tahu pasangan tersebut tak ada anak.

No comments:

Post a Comment