Monday 12 December 2011

Pemandu cekap letak kereta di ruang sempit

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pemandu yang menunjukkan kecekapannya meletak kereta di ruang sempit menjadi sensasi di laman perkongsian video YouTube, lapor akhbar MailOnline.

Lelaki tidak dikenali itu meletak kereta sedan miliknya di ruang sempit yang cuma muat untuk sebuah kereta bersaiz kompak.
Malah, dia berjaya keluar dari ruang parkir sama tanpa mencalarkan bampar kenderaan di hadapan dan belakangnya.

Menguap boleh berjangkit

LONDON: Tabiat menguap mempunyai kesan negatif kerana ia boleh berjangkit kepada orang lain, lapor satu kajian.

Hasil kajian itu yang disiarkan jurnal Public Library of Science, menyatakan menguap adalah ikatan empati yang terjadi dalam sesuatu kelompok sosial.

Kami berusaha memahami faktor paling penting yang mempengaruhi penularan menguap kepada manusia dengan mengumpulkan data selama setahun dari beberapa negara berlainan di dunia, kata ketua pengkaji di Universiti Pisa Itali, Prof Elisabetta Palagi.

Lelaki sembunyi 2 kilogram kokain dalam perut

SAO PAULO 11 Dis. - Seorang lelaki Britain ditahan kerana cuba menyeludup keluar kokain seberat dua kilogram yang disembunyikan di dalam perutnya dari Brazil.
Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di lapangan terbang Congonhas di Sao Paulo ketika dia cuba melakukan penerbangan ke Senegal.

Gambar x-ray terhadap lelaki itu menunjukkan 89 kapsul kokain dengan setiap satunya mempunyai berat 28 gram berada di dalam perut dan usus kecilnya.

Pelajar bakar diri meninggal dunia

JAKARTA 11 Dis. - Seorang mahasiswa universiti di Indonesia yang bertindak membakar dirinya sendiri dalam satu tunjuk perasaan di Istana Presiden di sini, meninggal dunia semalam.

Jurucakap polis, Kolonel Angesta Romano Yoyol hari ini berkata, pelajar undang-undang itu, Sondang Hutagalung, 22, bertindak membakar dirinya di hadapan Istana Presiden, Rabu lalu, kejadian pertama seumpamanya di negara ini.