Monday 9 March 2015

Wanita Bertudung Pertama bawa bas di Perth

PERNAH dipanggil pengganas kerana bertudung ketika mula-mula memandu bas awam di Bandaraya Perth, Australia sedikit pun tidak melunturkan semangat muslimah pertama sebagai pemandu bas di bandar raya itu, Saripah Rusinah Syed Othman, 55.

Mengimbau kenangan pahit pada awal kerjayanya sebagai pemandu bas lima tahun lalu, wanita rakyat Malaysia yang kini menjawat jawatan Penyelia Stesen Bas Swan Transit Bus di Perth, bernasib baik kerana ketika itu, penyelianya membantu menjelaskan kedudukannya kepada penumpang berkenaan.


"Saya masih ingat ketika mula-mula memandu bas, ada seorang penumpang menaiki bas dan terus memanggil saya dan syarikat itu sebagai bas pengganas.


"Saya hanya tergamam. Nasib baik penyelia saya turut berada dalam bas dan menjelaskan kepada penumpang itu, pemakaian tudung saya bukan kerana pengganas, tetapi ia adalah tuntutan agama Islam," katanya yang ditemui di Stesen Bas Universiti Curtin, Perth, baru-baru ini.

Permohonan Saripah untuk berkhidmat sebagai pemandu bas pernah ditolak dua kali kerana beliau bertudung. Bagaimanapun, perkara itu selesai dengan cara baik apabila suaminya, Kamaruddin Abdul Rahman, 68, membawa perkara itu kepada pihak atasan.

"Suami terpaksa membawa perkara itu ke peringkat atasan iaitu Jabatan Pengangkutan Awam Australia Barat bagi menjelaskan bahawa bertudung bukan halangan untuk bekerja dan tidak ia mengganggu.

"Mereka minta saya membawa contoh tudung dan selepas berpuas hati pihak berkuasa meminda klausa dalam peruntukan peraturan bagi perkhidmatan pengangkutan awam bagi membenarkan sebarang pemakaian mengikut agama dan budaya.

"Selepas itu, rakan kami beragama Sikh juga dibenarkan memakai serban," katanya.

Istimewanya negara kanggaru ini, katanya, ialah mereka menghormati dan menerima pegangan dan budaya penduduknya dengan alasan kukuh.

Memandu bas di negara asing turut mendedahkannya kepada penumpang mabuk, tetapi beliau tidak gentar kerana boleh menghubungi polis pada bila-bila masa jika merasakan diri dan penumpang lain terancam.

"Saya tidak bimbang kerana ada kurungan di sekeliling tempat saya bekerja. Jika ada penumpang yang mahu melakukan sesuatu yang tidak diingini, kedudukan pemandu selamat," katanya yang turut dilatih memandu bas selama dua minggu oleh syarikat tempatnya bekerja untuk mendapatkan lesen.
Memandu bas di bandar Perth, katanya, tidak meletihkan dan tidak tertekan kerana jarang berlaku kesesakan lalu lintas.

Lebih menyeronokkan apabila membawa bas berkembar dua dengan kapasiti 60 penumpang kerana kenderaan lain akan memberi laluan disebabkan bas terlalu panjang.

Selain itu, pemandu bas di negara itu perlu di wajibkan berehat selepas empat jam membawa bas. Ini bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.

Lebih mengagumkan, jika pemandu merasakan diri letih atau tertekan, mereka boleh menghubungi depoh pada bila-bila masa dan tempat mereka akan diganti dengan pemandu lain.

Minatnya untuk memandu bas berputik apabila sering menemani dan melihat suaminya memandu bas awam dan merasakan ia satu kerjaya yang menyeronokkan.


BAS yang dipandu Saripah Rusinah Syed Othman di Australia Barat. - Foto NSTP

Sebab berhijrah


"Lebih manis, ramai penumpang kini menjadi sahabat kerana saya juga menjadi tempat mereka meluahkan masalah jika mereka memerlukan rakan pendengar. Apabila naik bas mereka mula bercerita dan rasa lega kerana ada orang mendengar," katanya yang mengakui faktor gaji tinggi iaitu kira-kira AUSD31 (RM93) sejam turut menjadikan bidang ini digemari.

Bercerita mengenai kisah hidupnya, ibu kepada empat cahaya mata dan lima cucu hasil perkahwinan terdahulu, berkata penghijrahannya ke benua itu selepas mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Kamaruddin yang turut pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebelum itu.

"Kelakar juga apabila mengenangkan perkenalan kami. Zaman itu mana ada Facebook atau Facetime. Yang ada, hanya Yahoo.

"Kami berkenalan menerusi internet. Kami berbual dan kali pertama jumpa terus kahwin. Inilah sebab asal saya berhijrah untuk mengikut suami yang juga warga Australia berketurunan Melayu Singapura," katanya yang setiap hari menghubungi anak cucunya di Malaysia menerusi internet.
Sebelum menjadi pemandu bas, Saripah pernah melakukan pelbagai pekerjaan di Perth, termasuk sebagai penghantar surat khabar, bekerja di restoran dan kilang roti.

Pasangan suami isteri itu turut aktif dengan kegiatan yang membabitkan masyarakat Melayu di bandar raya itu. Setiap malam Sabtu, masa mereka dihabiskan sebagai juruhebah sukarela Radio Melayu Perth yang sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu.

"Ada kira kira 20,000 Melayu di Perth dan separuhnya berasal dari Malaysia. Kita tidak mahu orang Melayu di sini melupakan akarnya.

"Jadi, dengan adanya Radio Melayu Perth ini, sedikit sebanyak dapat mengingatkan masyarakat Melayu di sini terutama golongan muda mengenai budaya dan lagu Melayu. Kami hanya putarkan lagu Melayu," katanya.


BAS yang dipandu Saripah Rusinah Syed Othman di Australia Barat. - Foto NSTP

Malaysia tetap di hati


Tahun 2007 adalah tahun paling menyedihkan bagi Saripah apabila tiga orang yang paling rapat dan disayanginya dijemput menghadap Ilahi selang beberapa bulan.

Beliau kehilangan bapanya, Datuk Syed Othman Syed Ali yang meninggal dunia pada Ogos tahun 2007, diikuti abang sulungnya, Syed Subardi Syed Othman, pada Oktober dan dua bulan selepas itu anak ketiganya, Nur Amalina Ajis yang ketika itu berusia 20 tahun meninggal dunia akibat leukemia.
"Kehilangan mereka amat menyedihkan. Saya berdepan dengan ujian besar satu demi satu. Setiap bulan, saya pulang ke Malaysia untuk menjaga anak dan bapa yang ketika itu sakit.

"Arwah Nur Amalina ketika itu belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Melaka dalam bidang perakaunan. Apabila disahkan menghidap leukemia, arwah dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)," katanya yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.


PEMANDU bas wanita Muslim pertama Australia Barat, Saripah Rusinah Syed Othman, 55. - Foto NSTP

Anak menetap di Malaysia


Ibu kepada empat cahaya mata dan lima cucu itu pasrah dengan ketentuan Ilahi dan menganggap ujian Allah sebagai tanda kasih Pencipta kepada makhluknya.

Bertemu jodoh dengan Kamaruddin, selepas masing-masing gagal dalam perkahwinan pertama, Saripah yang mesra disapa Kak Pah berhijrah ke benua Australia 15 tahun lalu.

Kamaruddin turut mempunyai lima cahaya mata dari perkahwinan terdahulu. Tiga anaknya kini menetap di Australia, manakala dua lagi di Singapura.

"Semasa mula-mula saya berhijrah ke Australia, saya membawa anak bongsu, Nur Farah, 27, manakala tiga lagi anak Syarul Neezam, 34, dan Syarul Heiry, 32, masih menuntut di pusat pengajian tinggi tempatan, begitu juga arwah Nur Amalina. Nur Farah pula melanjutkan pengajian di Kolej Tafe, Perth dalam bidang perakaunan.

"Kini, Syarul Neezam membuka perniagaan sendiri di Malaysia, Syarul Heiry pula pensyarah di UiTM Machang manakala Nur Farah kini bekerja sebagai akauntan di Malaysia.

"Bagaimanapun sebagai anak jati Malaysia, kenangan di negara sendiri tetap kekal dalam ingatan dan di hati. Tambahan pula anak dan cucu ada di sana," katanya yang pernah bekerja sebagai setiausaha sebelum berhijrah ke Perth.

Media sosial jadi penghubung


Saripah berkata, media sosial seperti Facebook, Facetime dan WhatsApp menjadi tempat beliau bertanya khabar dan melepaskan rindu kepada anak cucu di tanah air.

"Siapa kata tidak rindu. Setiap hari kami berhubung. Zaman sekarang mudah, kita ada telefon pintar, bukan hanya bertanya khabar dengan menulis pesanan, tetapi juga dengan bercakap berdepan dan melihat wajah mereka, seolah-olah mereka berada di sebelah rumah saja.

Paling rindu pada cucu yang sedang membesar," katanya yang setiap tahun pulang ke tanah air untuk menemui keluarga dan sanak-saudara.


PEMANDU bas wanita Muslim pertama Australia Barat, Saripah Rusinah Syed Othman, 55. - Foto NSTP







.x0x..

7 comments:

  1. Pakai tudung tapi lengan terdedah.. main wayang ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. setuju sngat, memang wayang.....!

      Delete
  2. bestnya kak pah... saya pun teringin la kerja kat perth tu.. saya ni pegawai kerajaan.. gaji RM100.00 sehari.. kak pah sejam je dpt RM100.00 tu.. drebar je.. sini drebar gaji ciput je..sejam RM50.00..

    ReplyDelete
  3. JOM kita ke Perth ramai, ramai jadi pemandu Bas dan Taxi. Senang aja dapat PR.

    ReplyDelete
  4. Mcmana cara nak jadi pemandu bas di Audtralia?

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete