LONDON 15 Jun - Penduduk dunia mengubah tabiat makan mereka disebabkan kenaikan harga makanan, menurut satu tinjauan yang dijalankan oleh Oxfam.
Menurut tinjauan itu, sebanyak 53 peratus responden mengubah suai diet mereka dalam tempoh dua tahun lalu, dengan 39 peratus daripada mereka menyebut kenaikan harga makanan sebagai punca mereka menukar apa yang mereka makan.
Di Kenya, 76 peratus responden berkata, mereka mengubah diet dengan 79 peratus daripada mereka menyebut harga makanan sebagai punca, diikuti 69 peratus responden di Afrika Selatan menyatakan ia kerana perubahan dalam diet, menurut tinjauan badan kebajikan antarabangsa itu.
Laporan tinjauan itu yang dijalankan di 17 negara disiarkan, hari ini.
Negara-negara Barat turut terjejas dengan 55 peratus daripada penduduk di Amerika Syarikat (AS) berkata, mereka tidak lagi mengambil makanan yang sama seperti dua tahun lalu, dengan 31 peratus daripada mereka menyebut harga lebih tinggi sebagai punca perubahan itu.
Keseluruhannya, kos makanan menjadi faktor paling membimbangkan, dengan 66 peratus menyifatkannya sebagai satu perkara utama yang menjadi punca kebimbangan.
Tinjauan pendapat itu dijalankan menjelang mesyuarat Menteri-menteri Pertanian daripada Kumpulan 20 (G20) di Perancis pada minggu depan apabila krisis harga makanan global bakal dibincangkan.
"Diet kita berubah dengan pantas dan bagi sebahagian besar penduduk, perubahan itu membawa kepada yang lebih buruk.
"Begitu ramai penduduk terutamanya di negara paling miskin di dunia mengurangkan kuantiti dan kualiti makanan yang mereka makan disebabkan kenaikan harga makanan," kata Pengarah Eksekutif Oxfam, Jeremy Hobbs.
Seorang penduduk Guatemala memberitahu Oxfam, penduduk miskin tidak lagi mampu membeli gula, manakala seorang rakyat Kenya mendedahkan bahawa susu, marjerin dan jem kini terlalu mahal, sementara harga beras, kacang dan daging juga semakin meningkat.
"Tidak wajar jika seseorang kanak-kanak tidak mendapat sekurang-kurangnya segelas susu setiap hari dan tidak wajar jika mereka makan kurang daripada tiga kali sehari kerana itu adalah hak asasi," kata Bekas Presiden Brazil, Lula da Silva.
Oxfam menggesa para pemimpin G20 supaya memaksa harga makanan diturunkan dengan mengawal selia pasaran komoditi dan merombak 'dasar bahan bakar bio yang cacat' kerana dasar itu menyebabkan terlalu banyak tanah pertanian digunakan untuk menghasilkan bahan bakar bio. - AFP
No comments:
Post a Comment