Saturday 27 October 2018

Lelaki salah anggap mereka ‘kebal’ kanser payudara


PETALING JAYA: Kesedaran masyarakat tentang penyakit kanser payudara boleh “terkena” kepada golongan lelaki masih rendah, kata Majlis Kanser Nasional (Makna).

Bercakap kepada FMT, Pengurus Besar Makna, Farahida Mohd Farid berkata kesedaran tersebut hampir tidak wujud apabila majoriti masyarakat negara ini mengandaikan penyakit itu hanya dihidapi golongan wanita sahaja.


“Di Malaysia, stigma berkaitan dengan payudara lelaki adalah hampir tidak wujud sama sekali.

“Sebenarnya kesedaran kanser payudara lelaki telah pun dilakukan, namun tidaklah sebanyak untuk wanita,” katanya.

Farahida berkata disebabkan kurangnya kesedaran terhadap penyakit itu, golongan lelaki yang menghidapnya hanya akan mengesan penyakit tersebut ketika sudah berada di tahap akhir.

Beliau bagaimanapun berkata secara purata hanya 1% sahaja golongan lelaki di dunia termasuk Malaysia yang menghidap penyakit tersebut setakat ini.

“Nisbah untuk lelaki menghidapi penyakit ini berbanding wanita adalah 1:1000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr M Murallitharan berkata di Malaysia, masih tiada lagi rekod kematian dicatat membabitkan golongan lelaki yang menghidap kanser payudara.

Beliau berkata, kebarangkalian untuk penyakit ini berlaku pada golongan ini adalah “sangat jarang” namun tetap “wujud”.

Jelasnya, sama seperti wanita, lelaki juga perlu mengamalkan rutin untuk membuat pemeriksaan harian di bahagian dada bagi melihat jika wujud sebarang perubahan negatif di kawasan itu.

“Untuk wanita akan ada masalah dari segi pemutihan di bahagian payudara mereka, jadi benda ini semua kita tidak nampak dari kalangan lelaki kerana mereka secara amnya tiada isu ini.

“Tetapi untuk lelaki yang ada kanser payudara mungkin ada ketumbuhan timbul di bahagian dada. Ini adalah penting untuk mereka sentiasa membuat pemeriksaan sendiri selepas mandi atau bila-bila untuk lihat ada perubahan dari segi ketumbuhan yang dapat dirasai,” katanya.

Murallitharan menambah, selain faktor keturunan, lelaki yang kerap menghisap rokok juga terdedah untuk menghidapi penyakit ini.

“Justeru lelaki memang patut ambil tahu dengan penyakit ini, bukan sahaja perlu berhati-hati dengan kesihatan mereka dari segi kanser payudara, tetapi juga mengenai semua bahagian dalam tubuh badan mereka,” katanya.


..x0x..

No comments:

Post a Comment