KEPALA mangsa dihentak bertubi-tubi dengan batu bata sehingga mati. Tubuh kanak-kanak itu kemudian dipotong menggunakan gergaji tangan dan dibuang ke pesisir jalan.
Yang mengejutkan, perbuatan kejam terhadap Aliahna Lemmon yang baru berusia sembilan tahun dilakukan bapa kandungnya, Michael Plumadore, 39.
Kejadian ngeri itu berlaku di Fort Wayne, Indiana, Amerika Syarikat pada 22 Disember lalu.
Selepas membunuh anaknya, Plumadore membuang cebisan tubuh mangsa yang diisi ke dalam beg plastik sampah ke pesisir jalan berdekatan kediamannya. Namun bahagian kepala, kaki dan tangan mangsa disimpan dalam peti ais.
Ibu mangsa, Tarah Souders, 28, sebelum itu membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa sepanjang perayaan Krismas lalu. Tarah dan Plumadore ketika itu sudah berpisah, kali terakhir mereka bersama pada hujung November lalu.
Ketika siasatan dijalankan, selang sehari selepas Krismas iaitu pada 26 Disember lalu, Plumadore menyerah diri dan mengejutkan polis dengan pengakuannya melakukan pembunuhan ngeri itu.
Suspek kemudian membawa pegawai penyiasat mendapatkan semula tubuh mangsa yang dibuangnya sebelum itu.
Pegawai Polis, Kenny Fries berkata, pembunuhan itu paling kejam pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun di Indiana.
“Suspek membawa kami (polis) ke rumahnya, kemudian memberitahu sebahagian tubuh Aliahna diletakkannya dalam peti ais.
“Sukar mempercayai apa berlaku, kejadian ini antara kes yang tidak mungkin dapat saya lupakan,” katanya.
Setakat ini, polis tidak mahu mendedahkan motif pembunuhan sehingga kes ini dibawa ke mahkamah bagi pendakwaan pada Januari ini.
Berdasarkan laporan polis, pembunuhan berlaku sekitar awal pagi pada hari kejadian. Sebaik melakukan pembunuhan, suspek tidur dan hanya dikejutkan dengan panggilan daripada Tarah yang tercari-cari Aliahna ketika itu.
Mulanya, suspek cuba menyembunyikan jenayah dilakukannya, namun akhirnya menyerah diri selepas sambutan Krismas iaitu 26 Disember.
Bagi Tarah, kematian anak perempuannya masih mengejutkan, lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh pasangannya.
“Dia (suspek) sangat menyayangi Aliahna. Apa yang berlaku bagaikan mimpi ngeri buat saya. Saya sukar menerima hakikat yang Plumadore melakukannya,” katanya.
Sementara itu, polis Indiana mendedahkan suspek adalah tidak asing dalam dunia jenayah, terutama membabitkan serangan seksual. Rekod polis mendapati suspek terbabit dengan 15 jenayah berkenaan.
No comments:
Post a Comment