Friday, 9 September 2011

Wanita paling berat di dunia ingin kurus

CALIFORNIA 8 Sept. - Selepas mencapai berat badan 317.51 kilogram, seorang wanita berumur 47 tahun dari Sacramento di sini direkodkan dalam Guinness World of Records sebagai wanita paling berat di dunia.

Bagaimanapun, Pauline Potter kini berazam untuk mengurangkan berat badan supaya dapat menjalani kehidupan seperti orang lain selepas dia mengalami kesukaran untuk bergerak selain tidak boleh masuk ke keretanya.

Wanita itu menyalahkan cara dia dibesarkan sebagai punca kepada masalah berat badannya.


Potter berkata, ahli keluarganya termasuk ibu bapa mempunyai masalah berat badan. Ketika kanak-kanak, dia diberi makan makanan dalam jumlah yang berlebihan.

"Berat ibu saya lebih daripada 181 kilogram dan ayah saya pula lebih 272 kilogram. Lapan adik-beradik saya juga mempunyai berat badan lebih 136 kilogram,'' ujarnya.

Ibu kepada seorang anak lelaki itu memberitahu, keluarganya gemar makan tanpa mengira situasi sama ada mendapat berita gembira atau buruk.

Potter berkata, dia sebelum ini berulang kali menangguhkan usaha untuk mengurangkan berat badannya tetapi kini berazam untuk melakukannya.

"Ini kerana sekarang saya sukar untuk pakai baju dan mandi. Malah hendak pakai sarung kaki pun susah,'' katanya.

Potter kini pergi ke kolam pemulihan air panas sebanyak tiga hingga lima kali sehari untuk membantunya bergerak lebih mudah.

Bagaimanapun, dia terpaksa menggunakan skuter untuk pergi ke kolam tersebut. - Agensi

No comments:

Post a Comment